Multaqa

Multaqa

ARC

ARC

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Saturday, June 25, 2011

Kelab Basikal Jerai

Gurun 25Jun, Kelab Basikal Jerai dengan rasminya telah dilancarkan di kaki Gunung Jerai pagi ini oleh Yb. Ustaz Firdaus Jaafar (MP Jerai).
Kelab ini terbuka kepada semua para penunggang basikal yang melakukan aktiviti disekitar Parlimen Jerai khususnya di gunung Jerai.























Thursday, June 23, 2011

Presiden PAS seru semua ahli sertai Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, sebentar tadi.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan. Anggotanya terdiri daripada para pemimpin NG0, manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu.

Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam.

"Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sesuai dengan nama perhimpunan itu sendiri sebagai himpunan aman, sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam pehimpunan itu, ia bukanlah didatangkan oleh ahli-ahli PAS dan mereka yang menyertainya.

Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan kerajaan BN, atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini.

"Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi," tegasnya.

Umno dan Kerajaan BN, katanya, tidak perlu takut dengan perhimpunan tersebut kerana ia tidak sekali-kali terfokus kepada perkara-perkara tidak diingini, tetapi hanyalah terhadap pilihanraya di negara ini.

Pilihanraya di negara ini seperti yang diketahui umum tidak pernah berlangsung dengan bersih dan adil, tetapi penuh dengan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memerintah menerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Keadaan yang sama turut dilakukan oleh Umno dan Kerajaan BN terhadap media, apabila media yang menyokongnya diberikan kebebasan untuk disebarkan dan dibaca secara meluas di segenap pelosok negara, tetapi media yang menyokong pembangkang atau PAS serta Pakatan Rakyat pula dihalang dengan pelbagai cara.

"Pilihanraya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0.

"Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.

Pihak Umno dan Kerajaan BN, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan tersebut diadakan kerana ia juga pasti memberikan kesan yang positif kepada pihak pemerintah sendiri.

"Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan Kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara," ujar beliau.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa perhimpunan tersebut akan mengancam mata pencarian para peniaga dan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas, malah perhimpunan itu sendiri akan mendatangkan keuntungan yang besar kepada para peniaga.

"Mereka yang menyertai perhimpunan itu cukup besar jumlahnya dan mereka pasti akan berbelanja. Jadi, para peniaga sendiri pasti akan mendapat keuntungan besar dengan adanya perhimpunan itu.

"Manakala sepanjang perhimpunan diadakan pula, para pelancong asing pasti akan turut tertarik melihatnya kerana ia dilakukan dengan baik dan aman sehingga mereka sendiri akan kagum dengan keamanan di negara kita.

"Tetapi jika pihak polis sendiri yang membuat provokasi, suasana itu pasti berbeza. Jadi yang mengubah keadaan itu bukannya pihak penganjur dan pesertanya, tetapi pihak polis, pihak Umno dan pihak Kerajaan BN sendiri," tegas beliau.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/3958-presiden-pas-seru-semua-ahli-sertai-bersih-20

Wednesday, June 22, 2011

Semua diseru jayakan Bersih 2.0

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Semua ahli dan penyokong PAS diseru menghadirkan diri untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara untuk perubahan sistem pilihan raya ke arah yang lebih baik.

“Ini bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi berparlimen negara,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) kepada Harakahdaily hari ini.

Bersih 2.0 yang dianggotai lebih daripada 80 NGO telah menyenaraikan 8 tuntutan berikut demi menjamin pilihan raya yang lebih adil bagi mempromosikan demokrasi yang telus dan dinamik iaitu bersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, guna dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Dalam konteks negara, kata Tuan Ibrahim, demonstrasi aman yang dianjurkan Bersih 2.0 bukanlah perkara baru dalam konteks negara.

“Selepas pilihanraya umum ke 12, Umno ternyata lebih banyak mengadakan demo berbanding Pakatan Rakyat. Namun, apa yang menarik demo mereka ini dapat pengawalan polis tanpa sebarang provokasi. Ia berjalan dengan aman walaupun ia berbentuk hasutan.

“Contohnya, peristiwa membawa kepala lembu, membakar gambar dan bendera dan juga pengisytiharan perang khususnya yang dianjurkan rakan akrib Umno, Perkasa, yang ternyata mempunyai kekebalan luar biasa daripada sentuhan undang-undang dan juga polis,” kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim turut menambah bahawa PAS berterima kasih ke atas kebebalan Perkasa yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat provokasi kebelakangan ini.

“Kerana ini sudah tentu dapat memudahkan kerja polis untuk menahan mereka yang melakukan provokasi – dan sudah jelas yang buat provokasi tentulah Perkasa.

“Tapi, di Malaysia, kita sudah pasti tidak terkejut sekiranya yang kena tahan pihak yang tidak membuat provokasi seperti PAS, PKR dan DAP,” sindir beliau.

Mengenai keazaman Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk turut serta melakukan demo pada Julai 9 nanti seperti yang dilakukan Bersih 2.0, Tuan Ibrahim berkata ia adalah satu tindakan yang agak luar biasa sehinggakan Khairy berani mencabar polis dan menyatakan kesediaannya untuk ditangkap.

“Cuma PAS hairan Pemuda Umno sertai demo untuk menuntut apa? Kalau tuntutan kita atas 8 perkara, maka Pemuda Umno nak tuntut apa?

“Jika benar kata Khairy bahawa mereka juga mahu menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia, maka ini bermakna pemuda Umno nampaknya lebih faham berbanding pemimpin-pemimpin Umno yang tua-tua yang sering berlindung di bawah dagu Perkasa dan Ibrahim Ali (Presiden Perkasa),” sindirnya lagi.

Tuesday, June 21, 2011

Ayuh Bersama Himpunan Rakyat Menuntut Pilihanraya Adil Dan Bersih Kali Ke 2


Dalam mendepani kebejatan politik UMNO-BN serta mengharungi Pilihanraya Umum yang semakin hampir, masa semakin suntuk bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus melangkah ke Putrajaya bagi membina sebuah negara Malaysia yang baru.

Namun demikian, umum mengetahui bahawa sistem pilihanraya di Malaysia berlangsung dalam keadaan yang tempang dan di padang yang tidak sama rata. Amat sukar bagi PAS khususnya dan PR umumnya memenangi pentas demokrasi di Malaysia dalam keadaan suasana sistem pilihanraya yang sedemikian.

Dalam kesempatan ini, saya mengharapkan agar seluruh Pemuda PAS dapat turun memimpin Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 ini. Himpunan ini penting agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memenuhi tuntutan PR bagi memastikan perjalanan pilihanraya ke 13 dalam keadaan yang paling telus dan bersih dari sebarang penipuan. Kesan daripada Himpunan Bersih november 2007 dulu telah melahirkan 5 negeri semasa Pilihanraya Umum ke-12 jadi Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) yakin dengan kejayaan himpunan kali ini akan menyebabkan UMNO/BN akan akan tumbang diseluruh negara

Sesungguhnya perjuangan menuntut negara demokrasi yang tuntas bukanlah suatu usaha yang kecil. Ia menuntut komitmen, kesungguhan, semangat, ikhlas serta kesabaran yang sangat tinggi. Perjuangan di mana-mana negara yang menuntut keadilan serta meruntuhkan diktator yang korup dan zalim dimulai dengan kobaran semangat anak-anak muda yang berani turun ke jalan raya. Pemuda adalah nadi penggerak bagi mencetus perubahan yang semua rakyat harapkan. Sejarah membuktikan bahawa pemuda yang berada di barisan hadapan bagi meneruskan perjuangan ini, dan menjadi kebanggaan kita sekiranya pemuda PAS menjadi pencetusnya bilamana Himpunan Bersih 2.0 telah menjadi sebutan dan kehendak anak muda di seluruh negara.

Adalah diharapkan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke 52 ini menjadi pencetus kebangkitan sesuai dengan temanya "Memimpin Kebangkitan Anak Muda". Saya juga juga mengharapkan pemuda PAS mampu menarik sokongan dan dokongan anak-anak muda agar bersama-sama menyertai Himpunan ini. Saya mengharapkan tidak kurang 50 ribu anak-anak muda akan menyertai himpunan ini, yang juga bakal digerakkan bersama oleh golongan wanita dan golongan yang lain. Saya menegaskan, himpunan ini bakal berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini selama mana tidak ada unsur sabotaj dari pihak-pihak tertentu. Saya juga mengingatkan bahawa menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih adalah hak semua rakyat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan.

Disediakan oleh;

YB UST. FIRDAUS JAAFAR
EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat

Kenyataan Soi Lek bukti 1Malaysia gagal

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mahu Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) disingkirkan daripada 1Malaysia ciptaan Datuk Seri Najib Razak menunjukkan konsep itu gagal sama sekali.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berpendapat Perkasa yang diterajui oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu sebenarnya hanyalah 'topeng' kepada Umno yang sememangnya sebuah parti perkauman.

Katanya, tindakan mereka yang ekstrem serta melaungkan hanya semangat kemelayuan jelas bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang mana bertujuan untuk menyatukan semua kaum di kalangan masyarakat majmuk di dalam negara ini.

Chua dalam wawancaranya bersama Malaysiakini menyatakan bahawa 1Malaysia dimulakan dengan langkah yang salah iaitu dilancarkan selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Kesan pilihan raya tersebut, menyaksikan ahli politik menjadi gusar dan sesetengah mereka mengambil pendirian perkauman yang melampau.

Firdaus berkata, walaupun tidak menyebut dengan jelas namun umum mengetahui ianya ditujukan kepada Perkasa.

Katanya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib sememangnya hanyalah retorik semata-mata kerana di dalam Barisan Nasional (BN) sendiri parti komponennya terdiri daripada parti yang berteraskan perkauman.

Beliau berkata, Umno dengan kemelayuannya, MIC dengan kaum India sementara MCA pula hanya terarah kepada kaum Cina sedangkan laungan 1Malaysia hendak menyatukan semua kaum.

Ini, ujarnya berbeza dengan PAS yang mendaulatkan Islam yang syumul tanpa mengira bangsa, keturunan dan darjat.

Jelasnya, Islam yang menuntut keadilan terhadap semua tanpa memilih 'bulu' yang berbeza dengan BN yang hanya memihak kepada golongan tertentu. Begitu juga, katanya dengan tindakan undang-undang yang hanya dikenakan kepada mereka yang diluar 'ruang lingkup' mereka sahaja.

"Jangan lupa bahawa trio Umno Datuk T sampai sekarang tidak didakwa seperti mana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Apa khabar V K Lingam yang masih bebas 'berkeliaran' tanpa didakwa," katanya.

Baginya, Perkasa dilihat hanyalah menjadi 'budak suruhan' kepada Umno bagi mengelakkan masyarakat menuding jari kepada Umno hal berkaitan perkauman melampau.

Beliau menambah, Perkasa tidak berdemo apabila saham bumiputra hilang sebanyak RM52 bilion.

Tambahnya, Perkasa membisu apabila Chua Soi Lek menghina Islam ketika kempen di Pilihan raya Kecil Tenang dan juga menyokong 'lidah rasmi Umno' iaitu Utusan Malaysia ketika akhbar itu galak menyebarkan fitnah sedangkan yang difitnah itu bangsa melayu yang beragama Islam.

Ini, katanya jelas memperlihatkan 'wajah' sebenar Perkasa.

"Oleh itu, PAS menasihatkan agar Datuk Seri Najib memikirkan slogan lain untuk menipu rakyat dalam menghadapi Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihan raya umum akan datang kerana ternyata konsep 1Malaysia gagal dan rakyat sudah sedar akan penipuan tersebut," ujarnya.

Rakyat, kata beliau sebenarnya tidak memerlukan slogan-slogan untuk bersatu tetapi cukup dengan menolak BN dalam pilihan raya akan datang kerana selama ini rakyat tidak boleh bersatu dan tidak mungkin bersatu selagi mana BN memerintah Malaysia.

"Katakan tak nak pada BN!" katanya lagi. [harakahdaily]