Multaqa

Multaqa

ARC

ARC

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Thursday, July 23, 2009

Warkah takziah Nik Aziz buat ibu bapa Beng Hock

Buat ibu bapa kepada
Mendiang Teoh Beng Hock
d/a Pejabat YAB Menteri Besar Selangor
Tingkat 21, Bangunan SSAAS
40502 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan.

Warkah Takziah

Saya cukup tergamam apabila menerima berita penuh misteri di hari pemergian mendiang Teoh Beng Hock pada awal petang 16 Julai 2009. Lebih tragik apabila bencana yang menimpa mendiang, berlaku sewaktu beliau sedang menjadi tetamu kepada SPRM; ketika beliau sedang memberikan kerjasama ke atas sebuah kes dalam siasatan.

Dalam Islam, tidak syak lagi tetamu wajib dihormati, bahkan dilindungi. Tidak boleh sekali-kali timbul sebarang syak akan status keselamatan tetamu dalam apa jua keadaan kerana sebaik-baik tetamu diterima sebagai tetamu maka Islam secara otomatik mewajibkan jaminan perlindungan diberi oleh tuan rumah.

Jaminan perlindungan ini meliputi soal maruah, air muka, keturunan, harta benda dan nyawa. Ini soal hak asasi yang dijamin oleh Islam. Ini konsepnya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku di Plaza Masalam di Shah Alam pada Khamis yang sugul itu cukup-cukup membuatkan saya menjadi terkejut. Hati saya sebak, enggan menerima dan tidak dapat menahan kesedihan.

Saya sungguh-sungguh tidak dapat membayangkan bagaimana ini semua boleh terjadi. Saya cukup yakin, untuk dilantik ke jawatan Setiausaha Politik, sudah tentu mendiang adalah seorang yang terdidik, telah melalui liku-liku pengalaman, dan terdedah dengan pelbagai rancah kehidupan. Bukan senang untuk melahirkan satu-satu bakat, kebolehan dan ketokohan.

Kepada kedua ibu bapa dan seluruh ahli keluarga mendiang, saya mohonlah berpesan supaya teruskan bersabar. Tabahkan hati sewaktu mengharungi ujian yang segenting ini. Di sisi Islam, jika Allah menguji kita dengan sesuatu musibah nescaya di sana akan ada kebaikan yang akan menanti kita. Terus bersangka baiklah.

Sementara menantikan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja yang perlu dilantik dalam tempoh terdekat, izinkan saya mengangkat sekawat nota takziah buat Tuan, Puan serta seluruh ahli keluarga. Insya-Allah, kita akan dapat mengetahui punca sebenar yang telah meragut nyawa mendiang melalui siasatan yang sehabis telus dengan pembentukan suruhanjaya yang sangat diperlukan ketika ini.

Jika dalam banyak hal kita sering bercakap tentang integriti dan ketelusan, maka inilah ketika untuk membuktikannya.

Dari siasatan suruhanjaya itu, rakyat berhak untuk mendapat maklumat penuh tentang apa yang sebenarnya telah terjadi. Sudah tentu andaian-andaian longgar yang sekadar mengesahkan, "mendiang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi" tidak boleh diterima.

Saya berharap, jangan ada satu pun fakta biarpun sejarum patah, yang sengaja ditinggalkan di dalam peti siasatan sewaktu mengendalikan pos mortem ke atas tragedi ini.

Dalam hal ini, semua pihak harus sedar bahawa melakukan siasatan dan bercakap benar adalah menjadi kewajipan. Jika tidak, di akhirat kelak, dari segi Islam semua orang akan tetap diheret juga untuk dipaksa bercakap benar.

Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, "pada hari (itu) dibukakan segala rahsia. Maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu satu kekuatanpun dan tidak (pula) seorang penolong" [on the day when men's consciences are searched (for belief, intention etc.) (at the moment) men shall have no power (to defend himself) and no helper."] (maksud Surah Ath Thaariq: Ayat 9 dan 10).

Sementara itu, teruskan bersabar dan kuatkanlah kesabaran.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS merangkap
Menteri Besar Kelantan
27 Rejab 1430
20 Julai 2009

Apa status kes 54 Adun BN Selangor habiskan RM 27 juta?

Jaraknya tidak sampai setahun selepas peristiwa kematian A.Kugan semasa di dalam tahanan polis, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan tragedi ngeri kematian misteri Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

Beng Hock dilaporkan ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung isu penyalahgunaan wang peruntukan melibatkan beberapa Adun Pakatan Rakyat negeri Selangor.

Tragedi tersebut menggamit pelbagai persepsi tidak menyenangkan terhadap pihak berkuasa tempatan. Di mana piagam kerajaan dalam menjamin keselamatan suspek semasa menjalani proses siasatan?

Apatah lagi siasatan ke atas Beng Hock dilihat agak luar biasa apabila memakan masa terlalu lama (kira-kira 10 jam). Modus operandi itu secara tidak langsung menimbulkan unsur penderaan mental sekaligus bersalahan dengan etika hak asasi manusia.

Justeru, tidak ada cacatnya desakan agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan kerana tragedi tersebut memberi kesan besar kepada iltizam rakyat yang ingin melihat sesuatu perkara itu dari sudut keadilan.

Tindakan mengunci suara mana-mana individu yang cuba melontarkan pandangan atau pendapatnya terhadap perkara yang berlaku menggambarkan bayangan seram pemimpin kerajaan cuba menyembunyikan kemungkaran di sebalik telunjuk sendiri.

Tidak mampu! Bahkan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara.

Perspektif kerajaan adil tidak menepati kretirearnya selagi hak kebebasan rakyat bersuara masih diganggu-gugat dengan sekatan atau ugutan. Konsep 1Malaysia rakyat didahulukan, hanya sia-sia jika gagal mencipta satu dimensi baru secara keseluruhan buat rakyat.

Kalau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, sendiri boleh berspekulatif, kematian mangsa berpunca dari terjun bangunan, kenapa tidak dibolehkan rakyat turut berspekulatif ia adalah dari kejahatan SPRM berdasarkan kaitan 'environment'.

Sebelum ini, beberapa orang penyokong Dato� Norza Zakaria, calon Majlis Tertinggi Umno telah membuat laporan polis bahawa mereka telah didera dan diseksa oleh SPRM semasa soal siasat dilakukan ke atas mereka berkaitan rasuah melibatkan Norza.

Justeru cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bukan menjurus kepada satu aspek tragedi kematian Beng Hock, tetapi apa yang lebih jauh dari itu ialah tahap keintegritiannya terhadap sesuatu kes.

SPRM mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009. Sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia. Ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (Akta 694).

Ia ditubuh bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta memperbaiki persepsi kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi suruhanjaya.

Sebaliknya hari ini SPRM dilihat gagal membuktikan peranannya menyebabkan ramai orang mempertikaikan kredibilitinya seolah-olah mengamalkan polisi 'double standard'.

Jika Beng Hock bersama Adun-Adun Pakatan yang lain SPRM boleh seagresif itu dalam menjalankan siasatannya, tetapi kenapa tidak terhadap beberapa pemimpin BN yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah bernilai jutaan ringgit?

Sebagaimana kes berlaku di Selangor sebelum pilihan raya umum 8 Mac 2008 melibatkan wang peruntukan Adun BN yang berjumlah RM500,000 dihabiskan dalam tempoh 50 hari merangkumi jumlah keseluruhan (54 Adun) sebanyak RM27 juta?

Dan kemana hilangnya aduan terhadap individu terbabit dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM12.5 bilion, serta istana bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo, mencecah RM24 juta melebihi pendapatan asalnya di samping lawatannya ke Disneyland yang menelan belanja hampir RM1.8 juta.

Ringkasnya, ke mana pergi laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa pemimpin BN tidak dipedulikan SPRM? Rakyat menuntut jawapan tegas tanpa sebarang unsur politik.

Kegagalan SPRM berbuat demikian bermakna SPRM telah mencalar polisi kebebasannya sendiri yang boleh dianggap penubuhannya adalah semata-mata untuk menjadi kuda tunggangan Umno-BN bagi melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Saturday, July 18, 2009

PEMBELAAN UNTUK TEO

Mudah untuk Timbalan Perdana Menteri, para menteri serta pegawai atasan agensi siasatan dan penguatkuasaan undang undang untuk menasihati rakyat "bertenang", "jangan buat kesimpulan', "jangan tuduh SPRM" dan "biar polis siasat " berhubung misteri yang menyelebungi kematian Teo Beng Hock.

Begitu juga mudah untuk melafaz janji "kami akan siasat dengan telus ", "tidak akan sorok apa apa" dan " akan dedah semua". Hakikatnya kita semua mesti akur.Biarlah polis menyiasat.Bila selesai kelak terimalah hasil siasatan.

Tetapi masalahnya ialah bila kerajaan pusat berkata demikian, ramai yang ragu. Ramai yang sangsi. Kerajaan pusat bersama agensi siasatan dibawah pentadbirannya termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan khususnya pasukan polis mengalami krisis kredibiliti.

Dalam erti kata lain ramai yang tidak percayai siastan yang dijalankan benar benar adil.saksama.telus dan menyeluruh. Itu masalahnya.

Itu bukan tuduhan orang politik.Itu suara hati rakyat.Buktinya lihat sahaja komen "rakyat biasa" yang luahkan dalam alam siber menerusi blog dan sebagainya. Majorti rakyat biasa sangsi. Mereka tidak boleh dipersalahkan.

Apabila berlaku kematian "misteri" di lokap polis umpamanya, rakyat kerap diberitahu "hasil siasatan menunjukkan punca kematian ialah terminum air, terjatuh dalam bilik air, lemas dalam sungai". Rakyat tidak lupa kematian A.Kugan, Choong Soy Soy, dan Francis Udayappan.

Kini berdepan pula dengan kematian Teo Beng Hock. Apa yang sebenarnya terjadi? Rakyat tidak tahu. Tapi mahu tahu. Kenyataan dan penjelasan pihak atasan SPRM dan polis sehingga ini tidak banyak membantu. Malah kenyataan dan penjelasan yang dibuat menimbulkan lebih banyak peroslan daripada jawapan.

Rakyat diberi tahu Teo bukan suspek kes salah guna wang peruntukkan wakil rakyat. Mendiang kata SPRM hanya seorang saksi.Namun SPRM menyoal siasatnya daripada jam 6 petang Rabu 15 Julai hingga 3.45 pagi Khamis 16 Julai. Yang rakyat ingin tahu adakah ini prosidur biasa?

Soal siasat berterusan sehingga awal pagi?

Rakyat diberitahu mendiang Teo dibenarkan pulang pukul 4 pagi Khamis 16 Julai tetapi Teo mahu rehat diatas sofa pejabat SPRM. Mendiang dilihat berada di pejabat berkenaan pukul 6 pagi. Selepas itu tidak ada siapa nampak mendiang. Tujuh jam kemudian mayat Teo ditemui di tingkat lima bangunan bersebelahan pejabat SPRM Shah Alam.Yang rakyat tanya mengapa soerang yang baru dibebaskan setelah disoal siasat berjam-jam lamanya memilih untuk berehat di tempat dia disoal siasat? Mengapa tidak terus pulang? Tidak menghubungi keluarga, kawan mahupun bosnya?

Rakyat juga ingin tahu mengapa "orang luar' atau seorang yang bukan pegawai atau kakitangan SPRM dibiarkan berada atau "berkeliaran' di pejabat agensi penting pada awal pagi atau pada "pagi pagi buta"? Tanpa pengawasan?

Banyak lagi yang dipertikaikan. Tetapi yang mesti diberi perhatiannya ialah kebimbangan rakyat berdasarkan dakwaan ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa yang turut disoalsiat SPRM berhubung kes yang sama.Tan mendakwa beliau telah diancam,dihina,dimaki dan diherdik. Tan juga diarah berdiri beberapa jam ketika sesi soal siasat.

Lebih membimbang apabila rakyat mengimbas kembali dakwaan seorang lagi ahli majlis perbandaran tidak berapa lama dulu. Kali ini dari Simpang Renggam.
Beliau mendakwa matanya ditutup dan pegawai SPRM menendang dan memukulnya ketika disoal siasat.

Begitu juga seorang dakwaan seorang ketua UMNO bahagian dari Pahang. Beliau juga mendakwa pegawai SPRM menendang dan menumbuknya untuk memaksa belaiu mengaku telah memberi wang kepada UMNO sebagai sogokan pada pemilihan parti yang lalu. Beliau turut mendedahkan pegawai SPRM mengancam untuk menangkap dan menelanjangi isterinya.Cukup menakutkan.

Lantas, apa yang berlaku keatas mendiang Teo mesti diketahui umum.Pemimpin UMNO Tengku Razaleigh Hamzah sendiri mengakui kes Teo meletakkan kredibiliti kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan agensi penyiasatn negara dibawah mikroskop rakyat.

Justeru atas nama keadilan rakyat menuntut siasatan dijalankan badan independen atau satu suruhanyjaya diraja bebas.

Keadilan untuk mendiang Teo,

Keadilan untuk ibu bapa,tunang dan keluarga mendiang Teo.

Dan keadilan untuk Malaysia tercinta.

Pakatan mahu Suruhanjaya Diraja ditubuh siasat kematian Teoh


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mahu satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock, yang dipercayai terjatuh dari Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.

Selain menyiasat secara mendalam insiden kelmarin, suruhanjaya itu juga disyor meneliti teknik dan kaedah digunakan oleh SPRM untuk menjalankan soal siasat.

"Kita tegaskan SPRM baru beroperasi enam bulan tetapi menjadi alat kepada Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat dalam tindakan merampas kerajaan negeri Selangor.

"Kita desak supaya peranan SPRM kembali profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan kepada puluhan laporan yang dibuat terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa," kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saranan sedemikian juga diberikan pagi semalam selepas pemimpin-pemimpin Pakatan mengadakan pertemuan dengaan SPRM Selangor.

Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP.

Mayat Teoh ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, dipercayai akibat terjatuh dari bangunan itu, kira-kira pukul 1.30 tengah hari kelmarin.

Rabu lalu Teoh memberi keterangan di SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan dana rakyat di Selangor.

Anwar berkata, pemimpin Pakatan akan ke Melaka Isnin ini untuk menghadiri upacara pengebumian Teoh pada pukul 10 pagi.

Selain itu, pihaknya juga akan memberi penjelasan di negeri-negeri mengenai kematian Teoh, tahanan tanpa bicara dan tindakan pihak berkuasa yang didakwa beliau bersifat ganas.

Sementara itu, Anwar berkata, Pakatan akan terus memperkukuh parti itu dengan memperkemas jentera pentadbirannya supaya lebih berkesan.

"Kita akan memperkemas panel Ahli Parlimen yang berperanan mengkaji kementerian-kementerian dan memperkukuh sekretariat Pakatan dengan tiga wakil dari setiap parti bagi mengendalikan sekretariat di peringkat pusat.

"Kita juga akan pastikan jawatankuasa panel akan menentukan dasar parti yang perlu diulas bersama oleh pimpinan Pakatan.

"Selain itu, jawatankuasa pilihan raya ketiga-tiga parti akan mengadakan pertemuan bagi berbincang strategi yang diperlukan," katanya.

Katanya, satu seminar khusus akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi pengukuhan Pakatan yang akan dihadiri oleh 30 wakil dari setiap parti.

Selain itu kata Anwar, pemimpin-pemimpin Pakatan akan menyertai satu perhimpunan bagi menggesa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos ini.

Berhubung kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dengan majoriti tipis, Anwar berkata, beliau tetap mengucapkan tahniah kepada PAS atas kemenangan itu kerana bukan sesuatu yang mudah untuk memenangi pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang dipetik Bernama berkata, PAS mahu satu sidang khas Parlimen diadakan segera untuk membincangkan integriti SPRM, di samping menyokong penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes kematian Teoh.

"PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas kematian Teoh," katanya dalam kenyataan.

Mahfuz berkata, PAS turut menuntut penggantungan tugas Ketua Pengarah SPRM, Pengarah Siasatan SPRM, Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas menjalankan soal siasat ke atas Teoh, sepanjang penyiasatan kes kematian mendiang.

Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak terbakar





Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak telah terbakar pada jam 10.00 pagi tadi. Kebakaran melibatkan bangunan yang menempatkan Pejabat Pentadbiran sekolah, bilik lembaga tadbir, bilik mudir, bilik guru, perpustakaan, dan dua buah bilik darjah.Keseluruhan bangunan musnah. Turut musnah ialah 11 unit komputer termasuk dua unit komputer pentadbiran sekolah dan guru, 1 unit dan mesin potostate yang baru dibeli, peralatan perabot antaranya meja mudir, meja kerani dna kaunter serta beberapa buah almari dan 65 unit meja dan kerusi murid.

Sebanyak 1 jentera bomba dari Guar Chempedak dan 14 jentera bomba sukarela termasuk dari bomba sukarela Bukit Pinang tiba bagi membantu usaha memadam kebakaran. Kebakaran dapat dikawal dengan baik dan bangunan surau dan asrama pelajar yang berada disebelah bangunan tersebut dapat diselamatkan. Pihak bomba menganggarkan kerugian sebanyak RM550 ribu.

Ketika kejadian Ust Musoddak Hj Ahmad, Pengerusi Lembaga Tadbir sedang berada dalam pejabat melakukan kerja pentadbiran apabila diberitahu oleh beberapa orang murid tentang kepulan asap yang banyak dalam bilik darjah, beliau terus bergegas ke tempat tersebut dan mendapati api telah mula marak. Dalam kesempatan masa itu mereka mula meyelamatkan barang yang sempat dibawa keluar.

Pihak Lembaga tadbir telah mengadakan mesyuarat tergempat jam 1.00 petang tadi dan memutuskan memberi cuti kepada semua pelajar sehingga 27 Julai ini. Bagi menggantikan dua buah bilik darjah yang musnah pihak sekolah akan memasang khemah sebagai bilik darjah sementara. Pejabat sementara sekolah akan ditempat ditingkat bawah bangunan Tabung Haji yang bersebelahan dengan sekolah.

Pihak sekolah merayu sumbangan orang ramai supaya dapat menghulurkan bantuan segera bagi membeli kelengkapan bilik darjah yang musnah supaya pembelajaran dapat ditersuakn seperti biasa. Sebanyak 65 buah unit meja murid diperlukan , 2 unit white board diperlukan.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh salurkan melalui akaun Bank Islam : Tabung Pembangunan SAIF no akaun 02084010028830.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi ust Musoddak Hj Ahmad, Pengerusi Sekolah 012 4827563 atau Ust Mohamad Ismail, Setiausaha Lembaga tadbir 019 4227323.

Thursday, July 16, 2009

Korupsi Bawah Pentadbiran Najib Makin Parah

Baru melepasi tempoh 100 hari pentadbirannya dalam kerajaan persekutuan, pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak semakin parah mengamalkan korupsi apabila menawarkan pembinaan jambatan bagi memenangi hati pengundi dalan PRK Manek Urai.

Tawaran yang dibuat Timbalannya, Muhyiddin Yassin untuk membina jambatan gantung Manek Urai bernilai sehingga RM10juta merupakan bukti jelas rasuah yang diberikan UMNO-BN kepada rakyat.

Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim berkata, satu laporan Polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan aduan juga telah dikemukakan kepada SPRM untuk menyiasat.

"Kita tengok sejak Najib ambil alih, walaupun beberapa liberalisasi kewangan dibuat. Dari segi media, polis, ugutan, rasuah politik, jaminan pembayaran, lebih teruk dan parah dari dulu. Dalam keadaan itu kita masih bertahan," katanya.

"Nasihat saya pada sahabat saya Muhyiddin, teruskan membina jambatan,"katanya.

Mengulas mengenai jumalah majoriti undi yang merost, Anwar berakata, keadaan itu tidak menjejaskan PR sebaliknya menunjukkan kekuatan Pakatan walaupun diasak dengan jutaan ringgit yang dijanjikan UMNO.

"Tidak, kemenangan dalam mana-mana pilihanraya, itu menang namanya. UMNO nak kata dia menang dalam kalah atau kalah dalam menang, tidak. Kalah, kalah dan menang, menang. PAs menang," katanya

Katanya, parti komponen PR akan mengadakan pertemuan Jumaat ini untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan.

Anwar berkata, BN yang mengatakan mereka mempunyai kemenangan moral dalam PRK Manek Urai tidak layak membicarakan mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, walaupun memperkenalkan dasar liberalisasi namun, Najib tidak langsung menyentuh mengenai korupsi, ketelusan dan kebebsan sistem kehakiman.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong, Anwar berkata, suruhanjaya berkenaan jelas berat sebelah.

"MACC begitulah kalau dipihak pembangkang ada sedikit laporan atau tidak ada diserang begitu. Sistem, tidak berubah, bawah Najib pun malah lebih lagi penguatkuasa dan polis dan SPRM mengambil tindakan yang jelas berat sebelah dan tidak adil.

"Kes berbilion ringgit PKFZ, belian senjata semua ditutup tidak siasat, kita bawa puluhan kes dalam parlimen tidak disiasat. Ini menunjukkan sikap keangkuhan kuasa.

"Saya mengutuk sikap tidak profesional SPRM kendalikan siasatan mereka, menyusahkan pelbagai pihak," katanya.

Wednesday, July 15, 2009

Khir Toyo digantung setahun

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul menggantung ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo daripada menghadiri persidangan selama setahun, berkuatkuasa serta merta.

Ini bermakna, bekas menteri besar Selangor itu, yang juga ADUN Sungai Panjang, hanya boleh menghadiri sidang Julai tahun depan.

Keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh wakil rakyat Pakatan ekoran semua ADUN BN bertindak keluar dewan sebagai membantah usul tersebut.

Usul untuk menggantung Khir selama setahun tanpa elaun dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN (JKHK).

Ia ekoran kegagalan Khir menghadiri pendengaran awam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)) mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS).

Jawatankuasa itu juga mencadangkan supaya empat lagi ADUN BN digantung dan elaun dipotong selama enam bulan kerana didapati bersalah menghina SELCAT di media.

Sebelum itu, Khir mengetuai 20 ADUN BN bertindak keluar dewan kerana membantah usul tersebut.

Khir dalam ucapan perbahasannya mengenai usul itu - sebelum keluar dewan - menuduh Speaker Teng Chang Khim tidak adil terhadapnya dan empat lagi rakannya sewaktu pendengaran SELCAT.

Teng, katanya, telah bertindak sebagai "hakim, juri dan algojo" dalam perkara tersebut.

Khir mendakwa demokrasi telah mati di Selangor dan menegaskan sebarang penggantungan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah tidak sah, tercemar dan berniat jahat terhadap mereka.

Oleh itu, katanya, mereka tidak mahu terbabit dalam keputusan yang didakwanya berat sebelah dan berniat jahat.

Ketika itu, beberapa ADUN Pakatan Rakyat bangun untuk menjawab dakwaan Khir itu tetapi beliau bertindak keluar dewan bersama ADUN BN yang lain.