Multaqa

Multaqa

ARC

ARC

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Thursday, October 27, 2011

Laporan Ketua Audit Negara 2010 - Kedah

Laporan Ketua Audit Negara 2010: TAHNIAH KERAJAAN NEGERI KEDAH DARIPADA DPPNK

Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010. Walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia 'setahun jagung' iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang.

Berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan; pengalaman pentadbiran, kewangan, penyaluran peruntukan kerajaan pusat yang tidak melalui negeri, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak terus melangkah gagah. DPPNK mempunyai alasan kukuh untuk terus mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

PERTAMA: Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9 peratus atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau RM 0.6 peratus. Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding 2009 sebanyak RM368.27 juta. Pencapaian ini adalah yang terbaik di dalam masa 5 tahun!!

KEDUA : Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta!! Peningkatan ini sangat ketara dan sangat membanggakan. Ia adalah defisit tertinggi dalam masa 5 tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut. Berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8 peratus!!

KETIGA: Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009. Pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri. Tahniah kepada para pegawai.

KEEMPAT: Laporan ini telah memperakui peningkatan penerimaan hasil Cukai Tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9 peratus. Kerajaan negeri telah berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding 2009 hanya RM85.37 juta. Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75 peratus di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan di dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut. Kutipan ini adalah yang kedua tertinggi di dalam tempoh 5 tahun!!

KELIMA: Peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah. Hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta. Kutipan ini adalah tertinggi dalam masa 5 tahun!!

KEENAM: Sekali lagi premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Peningkatan sejumlah 46.9 peratus atau RM15.49 juta. Berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta!! Jumlah ini adalah yang tertinggi dalam masa 5 tahun!! Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400 peratus !!!

KETUJUH: Kerajaan juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa 5 tahun terakhir!! Berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM 26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus!!

DPPNK berpandangan bahawa dengan laporan ini, Ketua Audit Negara terus memperakui keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat. Ini membuktikan secara fakta bahawa segala tohmahan bahkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan adalah tidak berasas. DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendokong pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat.

YB Mohd Nasir Zakaria
Ahli Parlimen Padang Terap
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Thursday, October 20, 2011

100 keluarga terima bantuan Deepavali

GURUN : Seramai 100 keluarga dari kalangan masyarakat India di sekitar Gurun menerima bantuan sempena Deepavali yang disumbangkan oleh Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Jerai.

Bantuan berupa hamper barangan keperluan harian itu disampaikan oleh ketua pemudanya, Mohd Firdaus Jaafar yang juga Ahli Parlimen Jerai dan turut ditemani timbalan pengerusi DHPP, Yanapapasagam a/l Kuppasamy.

Firdaus dalam ucapannya berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan golongan yang kurang berkemampuan membuat persiapan untuk merayakan pesta cahaya itu.

"Setiap tahun kami akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membantu golongan kurang berkemampuan di kalangan masyarakat India di sini untuk sama-sama bergembira menyambut perayaan Deepavali.

"Kita buktikan slogan 'PAS FOR ALL' bukanlah sekadar laungan dan kita tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dan keturunan dalam penyaluran bantuan khususnya kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Menurut Firdaus, langkah yang diambil pihaknya itu adalah sebahagian dari usaha dan pendekatan PAS dalam menguatkan perpaduan antara kaum serta mengukuhkan integrasi antara kaum pada masa depan.

Ujar beliau lagi, tidak ada satu kaum pun yang akan tersisih dalam proses penyaluran bantuan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh parti untuk semua itu.

kursus imam & bilal

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mempersoal rasional kerajaan mewajibkan imam, bilal dan siak masjid di Kedah dan Pulau Pinang menyertai kursus berunsurkan politik khususnya memburuk-burukkan PAS.

Menurut Firdaus, beliau menerima maklumat daripada beberapa imam, bilal dan siak bahawa mereka diwajibkan hadir ke Kursus Pemantapan Nilai Islam di Institut Pembangunan Desa Infra, Bangi pada 10 hingga 13 Oktober yang lalu.

Namun katanya, mereka terpaksa mendengar ceramah brain wash memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ditayangkan video perhimpunan Bersih 2.0, Jemaah Islam (JI) dan Al-Maunah.

"Saya meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagitahu siapa yang gunakan imam dan bilal untuk kepentingan politik," kata Firdaus ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat mempertikai perkara itu apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata bahawa elaun dan kursus adalah perkara berbeza.

Firdaus sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat sebelum itu meminta Jamil menyatakan pihak mana yang terlibat menganjurkan kursus tersebut.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat menaikkan elaun siak masjid selari dengan kenaikan elaun imam dan bilal, baru-baru ini.

Jamil bagaimanapun tidak menjawab soalan Firdaus mengenai kursus tersebut sebaliknya berkata kerajaan pusat hanya bertanggungjawab terhadap elaun imam dan bilal manakala elaun siak tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.

Ekoran jawapan itu, Firdaus membangkitkan mengenai kursus melibatkan ketiga-tiganya itu.

"Kalau menteri kata elaun imam dan bilal berbeza dengan elaun siak, kenapa libatkan siak dalam kursus ini?

"Saya ada bukti bergambar, rakaman mengenai apa yang diperkatakan dalam kursus ini," katanya.

Tambahnya, peserta kursus turut diberikan buku berjudul PAS bukan parti Islam.

Elaun bagi imam dan bilal ialah RM750 daripada Kerajaan Pusat dan RM50 daripada kerajaan negeri.

Manakala elaun bagi siak ialah RM290 yang dibayar kerajaan negeri.

Kad kredit: Tidak pelik anak muda berstatus muflis

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Penggunaan kad kredit di kalangan masyarakat umum ketika ini bukan lagi dilihat sebagai satu kebanggaan atau satu gaya hidup akan tetapi sudah menjadi suatu kemestian dalam mengharungi zaman kenaikan harga barang dan taraf hidup yang semakin tinggi.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat dilihat seolah-olah tidak mempunyai jalan lain di dalam mengharungi hidup terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

"Namun adakah ini jalan penyelesaian yang terbaik dalam hendak memastikan diri dan keluarga 'berdaya saing' demi untuk meneruskan kehidupan," soalnya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya media pernah melaporkan bahawa 449 muflis kerana kad kredit.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dikumpulkan oleh pengeluar kad kredit bagi 2007 hingga 2009, tiada kes muflis dilaporkan bagi pemegang kad kredit berusia 25 tahun ke bawah, manakala bagi pemegang kad kredit berusia 26 hingga 30 tahun, kes muflis akibat hutang itu secara puratanya adalah dua orang setahun.

Ini, ujarnya satu angka yang mesti diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

Tambahnya, walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei 2010 yang lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi muda.

Beliau menambah, statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac 2009 juga menunjukkan bahawa pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1 peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan.

Katanya, pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.

Kajian juga, katanya menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai.

Menurutnya, antara sebab-sebab yang membawa kepada 'maslahah' ini adalah faktor kadar faedah yang tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang hanya memikirkan keuntungan tanpa melihat kepada kesan sosioekonomi dalam jangka masa yang panjang.

"Ditambah dengan sikap segelintir pengguna yang tidak berhemah dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar hutang kad kredit," katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Pihak kerajaan, tambah beliau perlu melihat kepada isu dengan lebih mendalam dan perlu mengambil tanggungjawab dan bukannya dengan mudah menyalahkan rakyat serta menuduh rakyat tidak pandai mengurus kewangan dan boros di dalam berbelanja.

Ianya, kata beliau perlu dilihat juga dari segi harga kereta dan harga rumah di negara ini.

"Seperti yang kita ketahui, harga kereta di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Begitu juga dengan hartanah yang mana harganya semakin hari semakin meningkat yang mana menyebabkan harga rumah juga terus meningkat.

"Di dalam keadaan begini menyebabkan ramai rakyat terpaksa berhutang dan akhirnya menjadi muflis," katanya.

Beliau berkata, bebanan yang ditanggung oleh rakyat perlu diambil kira sekiranya slogan 'Rakyat Didahulukan' dilaksanakan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Kalau dilihat secara teliti, katanya Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh Datuk Seri Najib baru-baru ini juga tidak banyak membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah bebanan kenaikan harga barang.

Malah, katanya faktor inflasi dan kenaikan harga barang juga turut menyebabkan ramai rakyat yang tertekan, yang mana akhirnya terpaksa menggunakan duit peruntukan yang sepatutnya dibayar untuk hutang, digunakan untuk perbelanjaan hidup.

"Maka tidak pelik kalau satu hari nanti Malaysia akan dipenuhi oleh anak-anak muda yang umur belum mencecah 25 tahun tetapi sudah berstatus muflis," katanya.