Multaqa

Multaqa

ARC

ARC

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Tuesday, February 16, 2010

DPPK Jerai mengucap takziah kepada keluarga En. Salleh bin Saad


ALOR SETAR 15 Feb. - Warga emas yang melecur hampir seluruh badannya akibat terjatuh ke dalam jerami yang sedang terbakar di Kampung Banggol Lalang, Guar Chempedak kelmarin, meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Salleh Saad, 75, menghembuskan nafas terakhir di Unit Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pada pukul 1.40 pagi ini.

Anak saudara mangsa, Suhuaimi Ali, 45, berkata, bapa saudaranya itu meninggal dunia kerana melecur teruk hampir 80 peratus di seluruh badan.

"Akibat kebakaran itu, buah pinggangnya tidak dapat berfungsi dan semalam mukanya juga bengkak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, Salleh sedang membakar jerami bersama-sama sepupunya.

Bagaimanapun, mangsa yang telah menjadi pesawah sejak 50 tahun lalu terjatuh ke dalam jerami tersebut setelah berasa pening akibat terhidu asap.

Menurut Suhuaimi, jenazah bapa saudaranya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak di sini, selepas solat Zuhur.

"Saya juga ingin menasihatkan pesawah-pesawah agar lebih berhati-hati ketika membakar jerami. Saya tidak mahu perkara yang menimpa bapa saudara saya terjadi kepada orang lain pula," katanya.

- AL-FATIHAH.........

Monday, February 15, 2010

Pemuda PAS lancar Kempen Anti-Zina, Arak dan Seks Bebas



Majlis Perlancaran Kempen Anti-Zina, Arak dan Seks Bebas di Pasar Seni, di sini, petang tadi.
Risalah yang diedarkan kepada orang ramai di sekitar Pasar seni.

Dalam pada itu, Nasrudin memberitahu mereka akan mengambil tindakan tegas dalam membenteras gejala sosial yang semakin berleluasa di kalangan remaja.

"Dewan Pemuda Pas Pusat akan menganjurkan tiga kempen besar seluruh negara seperti itu.

"Kempen ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang masalah gejala sosial yang semakin serius dan dikhuatiri mamberi kesan kepada negara.

"Kempen ini akan berterusan sepanjang tahun dan akan digerakkan di peringkat negeri," katanya.

Sebanyak 500 keping risalah diedarkan kepada pengunjung-pengunjung di sekitar Pasar Seni.

Tuesday, February 2, 2010

Usroh Pemuda - Jan 2010

PENTING DAN UTAMA
Penting bermaksud amat perlu, sangat berharga (berguna) atau mustahak. Sementara utama pula membawa maksud penting sekali, terpenting atau boleh juga dimaksudkan dengan paling baik, amat baik atau terbaik.

Kedua-dua kalimah ini saling berkait rapat antara satu sama lain dan sering kita gunakan di dalam kehidupan harian baik yang menyentuh tentang perbuatan, pemikiran,hukum-hakam dan nilai-nilai akhlak mulia yang berkaitan dengan diri, keluarga, pekerjaan, jamaah dan lain-lain. Namun apa yang ingin dibincangkan di sini ialah penting dan utama di dalam konteks kerja jamaah yang sedang kita laksanakan sekarang.

Keperluan memahami secara bersungguh-sungguh mengenai kepentingan dan keutamaan adalah suatu yang amat mendesak. Ini kerana dengan memahaminya kita akan berlaku adil di dalam meletakkan sesuatu pekerjaan samaada ia paling penting, penting, kurang penting dan selanjutnya.
SIKAP SAHABAT R.A.
Para sahabat r.a. adalah manusia yang sangat mengambil berat untuk mengetahui perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang sangat penting dan diutamakan. Hasilnya mereka dapat menjadikannya sebagai wasilah untuk melakukan taqarrub kepada Allah SWT. Justeru itu, mereka kerap kali bertanya kepada Baginda SAW mengenai perbuatan-perbuatan yang paling diutamakan dan disukai Allah SWT.

Contohnya, saidina ‘Amr ibn ‘Absah r.a. berkata: Seorang sahabat bertanya kepada Baginda SAW: Apakah Islam? Baginda bersabda: “Engkau berserah diri sepenuh hatimu kepada Allah dan orang-orang Islam terselamat daripada gangguan lidah dan tanganmu”. Sahabat itu bertanya lagi: Amalan apakah yang paling utama dalam Islam? Baginda menjawab: “Iman”. Sahabat itu bertanya lagi: Apakah iman itu? Baginda menjawab:”Engkau percaya kepada Allah, Malaikat, kitab-kitab, Rasul-rasul dan kebangkitan setelah mati”. Dia bertanya lagi: Apakah iman yang paling utama? Jawab Baginda:”Hijrah”. Dia bertanya lagi: Apakah hijrah itu? Jawab Baginda:”Engkau meninggalkan perbuatan yang buruk”. Sahabat itu bertanya lagi:Apakah hijrah yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Berjihad”. Dia berkata lagi: Apakah jihad itu? Baginda menjawab:”Engkau perangi orang-orang kafir yang memerangi kamu apabila kamu menjumpai mereka” Katanya lagi: Apakah jihad yang paling baik? Jawab Baginda :”Sesiapa yang darahnya sampai mengalir dan kudanya sampai terbunuh”. (Imam Ahmad)

DIRI DAN JAMAAH
Sudah menjadi kefahaman umum anggota jamaah, andainya berlaku pertembungan antara kepentingan peribadi dengan kepentingan jamaah sudah tentu pada kedudukan biasa keutamaannya kepada jamaah, kecuali pada waktu uzur syar’ie yang mengizinkan kita mendahulukan diri dan keluarga.

JAMAAH DAN KERAJAAN
Dalam konteks jamaah PAS di Kedah, ini adalah suatu yang baru. Peringkat awal PR menguasai kerajaan di Kedah rata-rata menyebut jamaah paling utama dan ia adalah segala-galanya. Menjaganya sama seperti sahabat Nabi yang menjaga dan mengawal Bukit Uhud. Kegagalan menjaga jamaah mengundang bala seperti sahabat yang gagal mematuhi perintah Nabi untuk menjaga Bukit Uhud.

Namun, sesudah hampir 2 tahun penguasaan PR di Kedah, pengalaman mengendali sebuah kerajaan mula difahami oleh pelbagai pihak. Perit getir, pahit maung dan suka duka serta kemanisannya mula dirasai dan dihayati. Kasih kepada kerajaan makin menguasai hati dan keperluan mempertahankan kerajaan dilihat amat penting dan utama. Banyak sudah polisi, perancangan dan gerakkerja yang disusun atur mula menampakkan hasil yang baik. Semua itu akan hancur berkecai jika BN kembali menguasai negeri ini.

Jelaslah bahawa menjaga kerajaan sama seperti menjaga jamaah, tarafnya seperti menjaga dan mengawal Bukit Uhud juga. Mungkin boleh juga sebagai bandingan, jika dahulu kita mempunyai seorang isteri, tetapi sekarang kita sudah memiliki dua isteri, walaupun kasih sayang berbeza antara satu sama lain, namun kewajipan dan tanggungjawab keatasnya adalah sama.

Maksudnya kepentingan dan keutamaan menjaga jamaah serta menjaga kerajaan adalah sama taraf. Tanpa menafikan kata-kata, “kerajaan boleh pergi dan datang tetapi jamaah mesti kekal”, namun sewaktu Allah masih amanahkan kepada kita kerajaan ini, ianya mesti dipelihara dengan baik dan hendaklah diingat andainya ia diragut oleh BN maka sukarlah pada adatnya untuk kita mendapatkannya kembali.

KERAJAAN YANG KUAT
Ketahanan dan kekuatan kerajaan terletak kepada kekuatan jamaah yang kita dokongi. Kekuatan jamaah pula terletak kepada komitmen pimpinan dan ahli di semua peringkat. Ahli mesti membayar yuran, hadhir menjayakan program dan patuh kepada arahan pemimpin serta berusaha menampilkan akhlak yang baik sesuai dengan anggota jamaah Islam. Pemimpin pula mesti iltizam dengan kepimpinannya. Ini dibuktikan melalui perlaksanaan tanggungjawab dan amanah kepimpinan.

Pemimpin utama peringkat negeri mesti merancang, melaksana, mengelola dan memantau gerakkerja anak buahnya. Pemegang lajnah peringkat negeri mesti menggerakkan lajnah dan selalu bermuhasabah untuk menilai kejayaan lajnah serta pencapaiannya. Demikian pemimpin peringkat kawasan dan cawangan, semuanya mesti berperanan dengan baik agar jamaah jadi kuat dan teguh.

Jika kita focus secara khusus kepada pemuda usaha meramaikan ahli sukarelawan pemuda, membanyakkan penubuhan jawatankuasa pemuda cawangan (JPC), menggandakan usaha mendaftar pemilih baru serta mentarbiyah anggaota jamaah mesti berjalan dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak kita hanya bercakap kosong, tidak berdiri diatas kekuatan yang sebenar.
Untuk memenangi pilihanraya bagi mempertahan kemenangan, daftar pemilih adalah senjata utama, tetapi hingga hari ini 293 614 orang di negeri kita belum mendaftar sebagai pemilih. Dan untuk mencapai kemenangan kita memerlukan minima sebanyak hampir 100 ribu orang mendaftar dari kalangan penyokong kita.

PARTI YANG MENGUASAI
Anggota jamaah amat mengharapkan konsep parti menguasai kerajaan mesti berjalan dengan baik. Suara ahli dan pimpinan parti serta penghargaan kepada suara mereka mesti dilakukan dengan sebaiknya.

Ahli dan pimpinan parti pula jangan sekali-kali dipinggirkan atau rasa terpinggir kerana merekalah jentera sebenar yang mempertahankan kerajaan. Pegawai kerajaan hanya melaksanakan tugas dalam ruang lingkup kerja mereka dan sering memikirkan imbuhan yang mereka peroleh berbanding anggota jamaah yang bekerja tanpa sebarang imbuhan dan pengorbanan mereka tidak terbatas bahkan sanggup berjuang hingga ketitisan darah yang akhir.
Namun tidak dinafikan, untuk memuas hati semua pihak bukanlah suatu yang mudah bahkan mustahil untuk dicapai namun usaha menjaga hati mesti dilakukan secara bersama. Jangan dibiarkan ahli terasa hati, kecil hati atau jauh hati terhadap tindak tanduk kita baik di dalam kerajaan atau parti.

Mungkin ahli parti terasa terpinggir di sebabkan perhatian kita kepada mereka makin berkurangan sejak ada “dua isteri”, atau mereka kecewa apabila melihat kerajaan yang kita pimpin belum melaksana apa yang kita perjuangkan selama ini. Ahli mesti selalu dirapati dan penjelasan mesti selalu diberi agar ia faham apa keutamaan kerajaan sekarang.

MURABITHUN
Demi menjamin keutuhan jamaah yang akan menjaga kerajaan, maka usaha melahirkan murabithun (pekerja sepenuh masa) di dalam jamaah amat perlu diberi perhatian. Usaha melahirkan pelapis dan pewaris perjuangan mesti juga diberi perhatian utama.

Pemegang jawatan dalam jamaah sekarang terasa bebanan amanah terlalu banyak, pertindihan jawatan di pelbagai peringkat, bebanan kerja jamaah dirasa terlalu berat, maka pada ketika itu alangkah gembiranya jika kita memiliki pelapis amilin yang bertaraf murabithun. Justeru itu, usaha melahirkan pelapis mesti menjadi tajuk penting yang perlu difikirkan bersama. Ayuh tingkatkanlah usaha dan gandakanlah mujahadah kita. Allahu Akbar!.... Wassalam.

Sumber : Usrah DPPNK

Monday, February 1, 2010

NGO Melayu-Islam, PAS umpama anggota badan yang sama

KUALA LUMPUR, 1 Feb: PAS menganggap badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam seperti sebahagian daripada parti itu dalam mendepani isu penggunaan kalimah 'Allah' di kalangan masyarakat bukan Islam.

Bercakap pada Majlis Dialog Bersama-sama NGO, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumpamakan PAS dan NGO yang hadir seperti anggota badan dari tubuh yang sama.

"Peranan NGO dan parti (PAS) adalah seperti anggota-anggota dari badan yang sama. Baik NGO-NGO atau parti dakwah seperti PAS sendiri seharusnya menghapuskan sentimen politik kepartian, taksub atau nak mengekalkan kuasa dengan melaksanakan dakwah secara dialog," jelas beliau pada majlis yang diadakan di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan bahawa PAS dan NGO Melayu-Islam seharusnya lebih progresif mengajak penganut Kristian berdialog dalam mencari kebenaran sebenar Allah.

"Sepatutnya kita perlu lebih progresif seperti Rasulullah s.a.w, diajak mereka, Yahudi dan Nasrani ini berdialog atas 'kalimatiin thawa'in' iaitu atas nama Allah.

"Rasulullah bertanya tentang pengabdian yang sebenar kepada Allah apabila Yahudi berkata Uzair itu anak Allah, Nasrani berkata Isa itu anak Allah; sehingga akhirnya mereka melihat keadilan Islam (melalui) pendekatan dialog," jelasnya.

Mengakui kebolehupayaan berdialog antara agama oleh beberapa NGO Islam, Abdul Hadi mewakili PAS menyeru mereka yang terbabit membantu PAS melaksanakan tugasan dakwah kepada masyarakat bukan Islam.

"Rakan-rakan kita yang mempunyai kepakaran dakam dialog antara agama, maka kita (PAS) dan NGO perlu ambil manfaat seperti Ahmad Deedat dan Zakir Naik, begitu juga di Malaysia, Allah tentu melantik di antara kita seperti Ahmad Deedat dan Zakir Naik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui rasa bimbang sekiranya umat Islam dikelirukan oleh penerbitan akhbar mingguan The Herald menggunakan kalimah Allah, seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin NGO.

Pun begitu, beliau tidak bersetuju penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri kepada mereka yang disyaki menyalahgunakan kalimah 'Allah'.

"Sekiranya didapati mereka menggunakan nama Allah pada tempat yang tidak betul, maka perlu didakwa mereka secara adil, tidak boleh digunakan ISA.

"Dialog mesti mendahului undang-Undang. Undang-undang adalah jalan terakhir sekiranya dialog gagal membawa kebenaran kepada (masyarakat) bukan Islam," katanya.

Antara yang menyertai Majlis Dialog bersama-sama Presiden PAS adalah Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM,) Zaid Kamaruddin, Presiden Guaman Syariah Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abdul Ratip, wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Mohd Azmi Walang, jurucakap bagi Saba' Islamic Media, Shah Kirit Kakolal Davinji, wakil Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Jamaluddin Ismail, Pengerusi Ilmuan, Kamaruzzaman Yusoff, Jaringan Siswazah Malaysia, Mohd Asrul Mohd Nor @ Ismail, Persatuan Pelajar Islam Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi yang mewakili PAS menyatakan komitmen untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) mengadakan dialog antara agama dalam masa terdekat, seperti ketetapan mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat petang semalam.


http://www.harakahdaily.net